Anugerah Peladang Jaya Citarasa , Parlimen Kuala Kangsar Tahun 2010 Kategori Hasil Tani dan Kedai Makan |
Tuesday 31 May 2011
Anugerah Peladang Jaya 2010
Usahawan Jaya tauhu dan tauge
Abdul Aziz Abdullah, 52 merupakan ayah kepada lima orang anak. Beliau yang dahulunya merupakan seorang penoreh getah kini boleh berbangga menjadi usahawan taugeh dan tauhu yang berjaya dan merupakan pengusaha tunggal bumiputera di Kampung Rambai Tujuh. Beliau mendapat latihan , bantuan kepakaran serta modal daripada Jabatan Pertanian Malaysia. Isterinya, Salina Zainal Abidin, 44 turut membantu beliau mengusahakan perniagaan ini. Berkat usaha gigih mereka, Abdul Aziz pernah mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang Peladang Jaya Daerah Kuala Kangsar dan Anugerah Usahawan Jaya Parlimen Kuala Kangsar tahun 2010.
Keratan Akhbar: Penoreh getah jadi usahawan
Salina Zainal Abidin membantu suaminya membuat tauhu |
Oleh
HASHIM P. MAMAT
utusanperak@utusan.com.my
KUALA KANGSAR 26 Mei - Penyertaan bumiputera dalam pembuatan makanan tauge dan tauhu amat kecil berbanding kaum lain.
Ketiadaan pengalaman, pengetahun serta modal merupakan antara faktor menyebabkan golongan bumiputera masih kurang menyertai bidang perniagaan yang sebenarnya mudah diusahakan dan menguntungkan itu.
Menyedari peluang serta prospek besar bidang itu dalam meningkatkan taraf ekonomi masyarakat bumiputera, beberapa agensi kerajaan telah mengorak langkah menyediakan latihan dan bimbingan bagi membolehkan golongan tersebut menceburi bidang berkenaan.
Salah satu agensi yang giat melatih dan melahirkan usahawan bumiputera dalam bidang pembuatan taugeh dan tauhu itu adalah Jabatan Pertanian Malaysia.
Usaha tanpa kenal erti penat lelah telah menghasilkan beberapa usahawan Melayu berjaya termasuk Abdul Aziz Abdullah, 52, dari Kampung Rambai Tujuh dekat sini.
Ayah kepada lima anak yang dahulunya merupakan seorang penoreh getah kini boleh berbangga menjadi usahawan taugeh dan tauhu hasil latihan, bantuan kepakaran serta modal daripada Jabatan Petanian Malaysia.
Menurut Abdul Aziz, kejayaan hari ini tidak sesekali pernah diimpikannya, apatah lagi jika memikirkan latar belakang diri yang tidak mempunyai pengalaman dalam dunia perniagaan.
Katanya, harga getah yang rendah 10 tahun lalu serta tidak menentu membuatkannya sentiasa memikirkan cara terbaik meningkatkan pendapatan keluarga.
"Apabila saya berpindah ke sini, saya bertekad melakukan sesuatu dalam perniagaan dan bidang pembuatan taugeh dan tauhu menjadi sasaran utama.
"Selain merupakan antara makanan utama masyarakat setempat termasuk digunakan oleh penjaja, kesukaran mendapatkan produk yang terjamin kebersihan dan status halalnya menguatkan lagi semangat mengusahakan perniagaan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Bercerita mengenai penglibatan awalnya, Abdul Aziz memberitahu, semuanya bermula secara kecil-kecilan selepas berpindah ke kampung isterinya, Salina Zainal Abidin, 44, di Kampung Rambai Tujuh itu.
Selepas memperlihatkan kemajuan, katanya, sedikit demi sedikit dia mendapatkan bantuan pihak berkaitan khususnya Jabatan Pertanian yang membantu membina tempat serta menyediakan peralatan memproses taugeh dan tauhu berjumlah RM20,000.
Katanya, sebagai pengusaha tunggal bumiputera, dia bukan sahaja perlu memenuhi permintaan masyarakat setempat dan peniaga di pasar besar di sini tetapi turut di kawasan Rehat dan Rawat Dataran Sungai Perak di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat sini.
"Sambutan memang menggalakkan tetapi ia sepatutnya boleh diperluaskan jika mendapat sokongan sepenuhnya peniaga dan penjaja Melayu," katanya.
Abdul Aziz berkata, untuk menghasilkan taugeh memerlukan masa selama enam hari, manakala tauhu hanya dihasilkan dalam tempoh empat jam.
Menurutnya, langkah pertama menghasilkan taugeh adalah dengan merendamkan biji kacang hijau, sebelum dibuang air dan kemudian direnjis sekali lagi dengan air bagi menghasilkan taugeh tersebut.
"Proses menghasilkan tauhu bermula dengan merendam kacang soya hingga lembut sebelum diproses dan dibentukkan menjadi tauhu.
"Setiap hari, l2 kilogram (kg) kacang hijau berharga RM1.25 sen sekilogram dan tiga kilogram kacang soya berharga RM72 diperlukan bagi menghasilkan l00 kg taugeh dan 800 hingga l,000 keping tauhu," katanya.
Katanya, setiap taugeh tersebut dijual pada harga RM1.50 sekilogram dan tauhu 30 sen sekeping sama ada secara runcit atau borong.
Bagi memastikan setiap pelanggannya mendapat bekalan tepat pada masanya, beliau perlu keluar seawal pagi memasarkan tauhu dan taugeh di bawah jenama Rambai Tujuh yang diambil sempena nama kampung berkenaan.
Abdul Aziz yang dibantu oleh tiga pekerja termasuk isterinya, berkata, usaha gigihnya pernah mendapat pengiktirafan apabila dipilih sebagai salah seorang pemenang Peladang Jaya daerah Kuala Kangsar dan Anugerah Usahawan Jaya Parlimen Kuala Kangsar tahun lalu.
Mengenai cabaran, beliau berkata, antara cabaran utama adalah untuk meyakinkan peniaga termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tentang kualiti taugeh dan tauhu yang dihasilkan oleh pengusaha bumiputera.
Katanya, masih terdapat keraguan dalam kalangan peniaga termasuk peniaga Melayu kerana mereka didedahkan terlebih dahulu dengan produk keluaran bangsa asing.
"Cabaran lain adalah kedudukan pusat pemprosesan taugeh dan tauhu yang terletak jauh dari pasar besar iaitu sejauh 20 kilometer menyebabkan banyak tauhu dan taugeh rosak ketika dalam perjalananan.
"Bagi mengatasi masalah ini, saya cuba mencari premis sesuai berdekatan bandar untuk dijadikan rumah dan tempat memproses taugeh dan tauhu," katanya.
Abdul Aziz berkata, segala cabaran itu tidak pernah melemahkan semangat, sebaliknya memberi satu kekuatan untuk membawa perniagaan membuat taugeh dan tauhu ke pasaran lebih jauh.
Membuat Pesanan.
photo hosting
Tauge : RM 1.50 / kilo |
Tauhu : 30 sen sekeping |
doctor ratings
Kursus membuat tauhu: RM 350 sehari |
Subscribe to:
Posts (Atom)